Sunday, July 21, 2013

DESTINASI - Kuala Penyu

Mercu Tanda Utama Daerah di Tamu Kayul
Kuala Penyu merupakan sebuah daerah kecil yang terletak di Bahagian Pedalaman Bawah, Sabah. Populasi dianggarkan dalam sekitar 16, 511 pada tahun 2000, di mana majoriti etnik adalah Dusun Tatana. Terbahagi kepada 3 Mukim – Sitompok, Bundu dan Menumbok (wikipedia) . Saya sendiri berasal dari daerah Kuala Penyu ini, membesar dan menerima pendidikan awal disini.

Mendapat pendidikan Pra Sekolah (TADIKA) di S.U.I Kampung Tempurong ( S.U.I = Sekolah Ugama Islam) pada tahun 1986, walaupun keluarga bukan lah menganut agama Islam, tetapi pada masa itu , itulah tempat pendidikan paling dekat dengan dengan rumah.

Masih mengingati pada waktu itu keadaan jalanraya dan kemudahan lain seperti air bersih, dan elektrik memang tiada pada masa ini. Kemudiannya bersekolah di S. K Tempurong ( 1987- 1992) dan S.M.K Kuala Penyu (1993-1999). Sekitar membesar di daerah ini, masih lagi mengingati sememangnya untuk keluar dari daerah ini, amatlah berbeza sekali dengan masa sekarang.


Pemandangan berdekatan bulatan untuk melalui jambatan Sitompok
Contohnya untuk ke Kota Kinabalu, pengangkutan adalah amat terhad dan memang susah untuk didapati pada masa itu. Saya masih ingat, jika ingin ke Kota Kinabalu, kami terpaksa berjalan kaki untuk keluar ke jalanraya utama dimana perkhidmatan van persendirian ditawarkan oleh individu-individu yang mempunyai kenderaan pada waktu itu. Namun, perlu ‘booking’ awal dulu, jika tidak pastinya tidak akan ada tempat duduk. Masa perjalanan waktu itu hanya sekali untuk setiap hala. KK-K.Penyu sekali dan K.Penyu- KK sekali.

Namun perubahan demi perubahan berlaku, dan kemajuan mula berkembang daerah ini semakin mudah untuk dikunjungi. Jalan raya Beaufort ke Menumbok yang dinaik taraf, antara salah satu penyebab daerah ini mudah diakses. Kuala Penyu juga merupakan hub akses kepada Wilayah Persekutuan Labuan melalui pengangkutan feri dan bot laju.

INGIN KE KUALA PENYU?
 Sekiranya anda ingin ke Kuala Penyu, perkhidmatan bas ekspress adalah salah satu pengangkutan utama. Bas-bas ini beroperasi setiap hari dari terminal yang terletak di depan bangunan Mahkamah TInggi Kota Kinabalu. Perjalanan ini adalah dari Kota Kinabalu – Kuala Penyu – Menumbok. Masa perjalanan adalah lebih kurang 1 jam setengah. Kereta persendirian (sapu) kadangkala menjadi pilihan alternative kerana perkhidmatan ini akan menghantar sehingga ke rumah, tidak seperti bas ekspress, yang hanya akan menurunkan penumpang di tepi jalan-jalan utama. Perkhidmatan kereta sapu ini selalunya beroperasi di bawah jejantas kawasan Segama.

Sekiranya anda mempunyai kenderaan sendiri, dan berniat untuk melawat Kuala Penyu, jangan risau kerana jalan akses tidaklah memungkinkan anda sesat. Pada zaman yang canggih ini, dengan smartphone nya, GPS gadget, semuanya mudah sekali. Saya sendiri mencuba mengaktifkan system GPS menggunakan aplikasi Waze, dan melihat sendiri bahawa system rangkaian jalanraya ke Kuala Penyu sudah update dan tiada masalah untuk digunakan.
Aplikasi Waze di SAMSUNG GALAXY NOTE 2
Pembangunan terbaru di daerah ini yang membantu memendekkan lagi masa perjalanan ialah Jambatan Sitompok yang menggantikan perkhidmatan feri untuk menyeberangi Sungai Sitompok. Jadi terdapat dua jalan utama untuk akses ke daerah ini iaitu melalui jalan Beaufort- Kuala Penyu atau pun Membakut- Kuala Penyu. Kedua- dua jalan ini berkeadaan baik dan memuaskan, terpulang kepada anda untuk menggunakan mana satu. Bagi saya, saya lebih memilih untuk menggunakan jalan Membakut- Kuala Penyu menggunakan Jambatan Sitompok kerana, jumlah kenderaan yang kurang serta lebih cepat untuk sampai ke Pekan Sitompok.
Jambatan Sitompok
Pandangan Jambatan Sitompok dari Kg Palu-Palu
Maklumat ini hanyalah sekadar untuk membantu. Walaupun agak sedikit maklumat namun pastinya sedikit sebanyak dapat memberikan maklumat kepada anda. Berkunjunglah ke Daerah Kuala Penyu, banyak tempat-tempat menarik untuk dikunjungi ( akan ditulis pada post akan datang). Untuk makluman, Kuala Penyu merayakan Pesta Rumbia sebagai sambutan utama tahunan daerah setiap bulan Julai ataupun Ogos. Kedatangan anda pasti akan dialu-alukan!
Pusat Informasi Rumbia adalah merupakan venue utama bagi sambutan Pesta Rumbia

No comments:

Post a Comment